Bunuh rakan wanita, hukuman mati warga Indonesia ditukar penjara 35 tahun

Bunuh rakan wanita, hukuman mati warga Indonesia ditukar penjara 35 tahun

Panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara berpendapat bahawa sabitan kesalahan membunuh itu kukuh.

Mahkamah Persekutuan hari ini menggunakan budi bicara untuk meringankan hukuman mati Ermiadi kepada penjara 35 tahun, ditambah 12 sebatan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas seorang warga Indonesia kerana membunuh seorang rakan wanitanya enam tahun lepas.

Panel tiga hakim mahkamah tertinggi yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpendapat bahawa sabitan kesalahan membunuh terhadap Ermiadi kukuh.

Hakim lain bersidang terdiri daripada Rhodzariah Bujang dan Abdul Karim Jalil.

Ermiadi, yang bekerja di pusat perjudian dalam talian di Rawang, membunuh Romsari Sitanggang, juga warga Indonesia, di premis itu pada 12 Okt 2017.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mensabitkan kesalahan membunuh ke atas Ermiadi dan menjatuhkan hukuman mati. Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan kedua-dua sabitan dan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah tertinggi hari ini menggunakan budi bicara untuk meringankan hukuman mati Ermiadi kepada penjara 35 tahun, ditambah 12 sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh Ermiadi ditangkap, iaitu pada 17 Okt 2017.

Menurut fakta kes, mayat Romsari ditemukan oleh polis susulan aduan seorang jiran tentang bau busuk di premis itu.

Bedah siasat mendapati wanita itu mengalami kecederaan di bahagian dada, dan dua tulang rusuknya retak.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berkenaan menunjukkan seorang lelaki mencekik seorang wanita sehingga mangsa tidak sedarkan diri. Ermiadi ditangkap beberapa hari kemudian.

Terdahulu hari ini, peguam mewakili Ermiadi, Gooi Soon Seng memohon pengurangan hukuman anak guamnya.

Beliau berkata, Ermiadi tidak sepatutnya dipenjarakan dalam tempoh yang lama, ditanggung oleh pembayar cukai, dan meminta hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee berhujah, Ermiadi patut dipenjarakan antara 33 dan 35 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.