
Isteri Daim, Naimah Khalid dan dua anak lelaki pasangan itu akan dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, pada 10.30 pagi esok.
Siasatan itu dipercayai berkait sitaan bangunan Menara Ilham milik Daim oleh SPRM pada Disember lalu.
Sitaan itu adalah mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM, yang membenarkan sitaan harta tak alih.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, kemudian mengesahkan Daim sedang disiasat kerana dipercayai terlibat rasuah dan pengubahan wang.
Azam berkata, beberapa aset lain milik Daim dan keluarganya juga mungkin disita, berikutan kegagalan menjelaskan sumber dana digunakan untuk pembeliannya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan sebarang motif di sebalik penyitaan bangunan itu dengan berkata, langkah berkenaan menunjukkan agensi antirasuah itu akan menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang mahupun kedudukan mereka.
Daim kemudian membidas Anwar dan SPRM berhubung siasatan itu yang disifatkannya sebagai “pemburuan”.
Dalam kenyataan di AstroAwani Daim mendakwa, beliau tidak dimaklumkan mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya.
Beliau juga mendakwa ada “usaha terancang” untuk memburuk-burukkan dirinya, dengan mengeluarkan maklumat salah dan “sindiran tidak berasas”.