Ribut petir, hujan lebat dijangka di KL, Selangor, Sarawak malam ini

Ribut petir, hujan lebat dijangka di KL, Selangor, Sarawak malam ini

Kawasan terbabit termasuk keseluruhan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta 2 daerah di Sarawak iaitu Kuching dan Bau, menurut MetMalaysia.

Selain di Selangor, KL, dan Sarawak, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang hingga 10 malam ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri hingga 10 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan kawasan terbabit termasuk keseluruhan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta dua daerah di Sarawak iaitu Kuching dan Bau.

Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang turut dijangka berlaku di Kedah (Baling, Kulim, Bandar Baharu); Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan); Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang, Muallim); dan Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong).

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam hantaran di Facebook memaklumkan setakat 6 petang, 52 lokasi bencana dikesan melibatkan 22 jalan persekutuan dan 30 jalan negeri.

Daripada jumlah itu, bencana yang direkodkan melibatkan banjir di 30 lokasi, cerun runtuh (14), jalan runtuh (tiga), jambatan rosak atau runtuh (empat) dan satu lokasi akibat jalan mendap.

Negeri terlibat dengan bencana itu ialah Pahang membabitkan lima daerah, manakala tiga daerah masing-masing di Johor dan Perak; dua daerah masing-masing di Kelantan dan Kedah; serta satu daerah masing-masing di Terengganu dan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.