Perolehan 12 helikopter, 3 kapal misi pesisir pertingkat keupayaan tentera, kata Khaled

Perolehan 12 helikopter, 3 kapal misi pesisir pertingkat keupayaan tentera, kata Khaled

Persediaan dan kesiagaan angkatan tentera harus mengundang rasa gerun dan hormat di pihak kawan dan lawan, kata menteri pertahanan.

Kelengkapan dan aset yang canggih serta mencukupi adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertahanan akan mempertingkatkan keupayaan aset tentera menerusi perolehan 12 unit helikopter baharu, tiga kapal misi pesisir (LMS) dan 136 unit kenderaan perisai mobiliti tinggi.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, perolehan itu dilakukan bagi meneruskan proses pemodenan kelengkapan dan aset ketenteraan dalam memastikan angkatan tentera sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang ancaman.

Katanya, kelengkapan dan aset yang canggih serta mencukupi adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromikan dalam konteks pertahanan dan keselamatan negara.

“Ketumbukan pertahanan kita mesti diperkukuh dengan pelbagai teknologi moden dan terkini terutamanya dalam konteks yang menyaksikan ancaman dan risiko keselamatan kini hadir dalam pelbagai bentuk dan cara.

“Persediaan dan kesiagaan kita harus mengundang rasa gerun dan hormat di pihak kawan dan lawan,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan di Wisma Pertahanan hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Udara Jen Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Rahman Ayob; dan Panglima Tentera Darat Jen Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Tentera juga bakal memperoleh beberapa kelengkapan seperti “maritime patrol aircraft”, “unmanned aerial system”, “flight lead in trainer – light combat aircraft”, meriam 155mm “Self-Propelled” Howitzer, dan trak kembalik ringan.

Sementara itu, “fast interceptor craft”, suar dan “anti-sonar decoy” bagi kapal selam kelas Perdana Menteri dibekalkan untuk tentera laut dan “long range radar complete with ancillary equipment” di Bintulu, Sarawak untuk tentera udara.

Sementara itu, Khaled berkata, bagi 2024, beliau akan menumpukan kepada kebajikan anggota dan bekas perajurit dengan menambah baik perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, sebanyak empat poliklinik tentera bakal dibina, iaitu di Kluang, Johor; Seberang Takir, Terengganu; Sungai Petani, Kedah; dan Kuantan, Pahang.

“Perkhidmatan kesihatan tentera akan turut dimantapkan dengan Sistem IT Kesihatan di setiap Hospital Angkatan Tentera serta ‘specialist outreach clinic’ dan program kesihatan mental,” katanya.

Pada majlis sama, Khaled turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pertahanan dengan Institut Integriti Malaysia.

Katanya, objektif MoU tersebut adalah untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam program- program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam dan juga sektor korporat di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.