Percepat lulus kerakyatan anak tak bernegara, kerajaan digesa

Percepat lulus kerakyatan anak tak bernegara, kerajaan digesa

Seorang ibu bimbang anaknya yang lahir di luar negara ‘terawang-awang’ apabila pulang ke Malaysia.

Wanita Malaysia, Tee Li Li berusaha mendapatkan kerakyatan untuk anak perempuannya sejak 2017.
PETALING JAYA:
Anak tunggal Tee Li Li semakin hampir menjadi kanak-kanak tidak bernegara apabila Perlembagaan Persekutuan masih menjamin kerakyatan bagi anak berbapakan warga Malaysia.

Wendy (bukan nama sebenar) dilahirkan di Itali pada 2017, hasil perkahwinan Tee dengan suaminya ketika itu, yang bukan warga Itali. Tee ketika itu dinasihatkan tidak pulang ke Malaysia untuk melahirkan anaknya atas sebab kesihatan.

“Kami membuat permohonan kewarganegaraan Malaysia untuknya (di Itali), tetapi tiada kesudahan. Namun, saya tidak boleh membiarkan anak tidak bernegara, jadi akhirnya dia mengambil kerakyatan bapanya.”

Bagaimanapun, Tee dan suaminya kemudian bercerai. Bekas suaminya itu memaklumkan mahu melepaskan kerakyatannya dan menjadi rakyat negara ketiga, menyebabkan keadaan Wendy menjadi tidak menentu.

Tee tidak menyatakan negara asal bekas suaminya, tetapi memaklumkan FMT bahawa Wendy akan hilang kerakyatannya secara automatik apabila bapanya mengambil langkah itu. Katanya, perkara itu disahkan kedutaan negara berkenaan.

“Apabila bapanya memperoleh kerakyatan baharu pada Februari, beliau tidak boleh mewariskannya kepada anak kami kerana saya mempunyai hak penjagaan penuh.

“Bagaimanapun, saya juga tidak dapat mewariskan kerakyatan Malaysia kepadanya kerana kami masih di Itali, jadi anak saya berisiko menjadi tidak bernegara.”

Percepat permohonan kes ekstrem

Tee berharap kes ekstrem sepertinya dapat dipercepatkan kerajaan.

“Kerajaan perlu mempercepatkan proses permohonan yang dibuat sejak bertahun-tahun lalu. Saya harap kerajaan dapat meminda undang-undang untuk membolehkan kanak-kanak menjadi rakyat menerusi ibu mereka.”

Mahkamah Tinggi pada 2021 memutuskan ibu rakyat Malaysia mempunyai hak sama rata untuk menurunkan kerakyatan kepada anak dilahirkan di luar negara.

Pada 5 Ogos 2022, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti bagaimanapun mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Kes itu sedang menunggu perbicaraan akhir di Mahkamah Persekutuan.

Pada hari sama, Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan Mahisha Sulaiha berkait tuntutannya untuk deklarasi beliau berhak mendapat kerakyatan. Mahisha dilahirkan di India, hasil perkahwinan ibu rakyat Malaysia dan bapa warga India.

Jemaah Menteri pada Februari lalu bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan kewarganegaraan Malaysia diturunkan secara automatik kepada anak dilahirkan ibu rakyat Malaysia. Pindaan itu ditetapkan untuk sidang Dewan Rakyat akan datang, tetapi sehingga kini tiada perubahan terhadap akta berkenaan.

Sementara itu, Tee terus berharap dapat membawa anaknya pulang satu hari nanti.

“Anak saya sukakan nasi lemak. Dia dapat mengira satu hingga 10 dalam Bahasa Malaysia, dan boleh nyanyi ‘Saya Anak Malaysia’, malah tahu mengenai batik kerana saya tunjuk kepadanya.

“Saya mengajarnya Bahasa Malaysia kerana mahu mempersiapkannya pulang. Dia mampu berbahasa Cina, Inggeris, Malaysia dan Itali. Dia sangat berbakat, seperti mana-mana anak Malaysia.”

Pertimbang juga kes kritikal lain

Penyelaras program Family Frontiers, Sarah Czarina Mashanis berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan kes kritikal lain, selain kanak-kanak tidak bernegara.

“Family Frontiers menggesa Kementerian Dalam Negeri memberi perhatian lebih kepada kes kritikal, contohnya ibu tunggal, ibu berdepan keganasan rumah tangga dan penyakit maut, selain permohonan dibuat sejak 2016 dan 2017 kerana sehingga kini belum diproses lagi.”

Katanya, wujud juga perkara lain perlu dipertimbangkan untuk anak-anak ini serta ibu bapa mereka, seperti akses terhad terhadap penjagaan kesihatan dan pendidikan mampu.

Menurutnya, walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan halangan, golongan ibu akan terus memperjuangkan hak kerakyatan anak mereka kerana Malaysialah negara mereka.

“Mereka mempunyai keluarga di sini dan mahu anak-anak membesar dengan nilai-nilai Malaysia, merasai budaya Malaysia seperti makanan, budaya dan perayaan, dengan dikelilingi orang tersayang dalam budaya ibu mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.