Fahmi naik bas dari Parlimen ke Putrajaya, uji kualiti perkhidmatan selular

Fahmi naik bas dari Parlimen ke Putrajaya, uji kualiti perkhidmatan selular

Ujian dijalankan SKMM itu bertujuan menguji capaian rangkaian perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia, yang mendapat banyak aduan baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut terlibat dalam Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) yang dijalankan dari Bangunan Parlimen ke Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Isu berkaitan panggilan telefon bimbit tiba-tiba terputus yang timbul sejak kebelakangan ini mendapat perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang melaksanakan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) hari ini.

Ujian itu dibuat bertujuan menguji capaian rangkaian yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia dalam menangani isu yang menjadi rungutan beberapa pihak sebelum ini.

Turut terlibat dalam pelaksanaan ujian itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching yang dibawa menaiki bas dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya bagi melihat dan meneliti sendiri kualiti panggilan telefon bimbit.

Fahmi dalam ucapan ringkasnya di perkarangan Bangunan Parlimen berkata, ujian ini akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai SKMM yang terlatih dengan menggunakan peralatan khas pengujian Nemo Walker Air.

Katanya, terdapat dua set Nemo Walker Air akan digunakan untuk dua jenis ujian, iaitu panggilan berturutan (repetitive calls) dan panggilan berterusan (continuous calls).

Turut menyertai Fahmi dalam perjalanan selama hampir sejam itu ialah Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din dan pengurusan kanan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Unifi Mobile (TM Tech) dan Yes (YTL Communication).

Kira-kira 30 pengamal media turut dibawa menaiki bas berasingan dan diberi taklimat berhubung ujian berkenaan oleh pegawai SKMM.

Dapatan hasil daripada ujian ini akan dianalisis dan dikongsi oleh Fahmi dalam sidang media di Kementerian Komunikasi petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.