
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, beliau percaya kedua-dua pemimpin itu boleh menyelesaikan sendiri isu yang timbul antara mereka.
“Biarlah mereka selesaikan sendiri, dulu MCA dengan Gerakan (sewaktu bersama BN) macam itu juga,” kata Zahid, ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi Felda, pagi tadi.
Isu itu tercetus selepas Kok dalam wawancara bersama akhbar berbahasa Melayu mendakwa MCA yang merupakan komponen BN sebagai “sesat”.
Wee berkata, dalam wawancara Kok bersama Mingguan Malaysia, secara “membabi buta” mendakwa MCA agak “sesat” apabila ditanya tentang hubungan DAP dan MCA dalam kerajaan perpaduan.
Menyelar kenyataan Kok, Wee kemudiannya membalas dan menegaskan kritikan yang dibuat adalah berdasarkan isu yang memberikan kesan kepada rakyat, khususnya membabitkan Kementerian Pengangkutan yang diterajui Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
Kritikan Wee sebelum ini berkenaan isu keselamatan data pengguna dalam aplikasi MyJPJ dan juga tiket tambang ke Sabah dan Sarawak yang dikenakan syarikat penerbangan dianggap membebankan pengguna.
Ahli Parlimen Ayer Hitam turut menegaskan walaupun MCA menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim parti itu tidak sesekali akan menjadi “pak turut” semata mata.