Bilik Gerakan Bencana JKR diarah beroperasi 8 pagi-12 tengah malam

Bilik Gerakan Bencana JKR diarah beroperasi 8 pagi-12 tengah malam

Menteri kerja raya berkata, operasi itu membabitkan semua staf Cawangan Senggara Fasiliti Jalan JKR dengan empat pelaporan situasi semasa setiap hari.

Alexander Nanta Linggi meminta semua penduduk di kawasan bencana alam sentiasa berhati-hati dan mematuhi semua arahan agensi bertugas. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bilik Gerakan Bencana (BigBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam tujuh hari seminggu berikutan peningkatan kes bencana alam, terutama di Johor dan Pahang.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, operasi itu membabitkan semua staf Cawangan Senggara Fasiliti Jalan JKR dengan empat pelaporan situasi semasa setiap hari.

“Saya mohon semua penduduk di kawasan terlibat sentiasa berhati-hati dan mematuhi segala arahan agensi bertugas. JKR akan sentiasa bersiap siaga dan saya telah mengarahkan pasukan JKR memberi bantuan segera sewajarnya,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Setakat 6 petang semalam, 51 lokasi di seluruh negara terkesan bencana alam dengan 23 dilaporkan di jalan persekutuan dan 28 di jalan negeri, manakala Pahang serta Johor masing-masing merekodkan 19 dan 20 lokasi terjejas tertinggi.

Berdasarkan perkongsian data bencana di seluruh negara di BigBen JKR setakat 6 petang itu, sebanyak 31 kes banjir, 12 melibatkan insiden cerun runtuh, empat insiden jalan runtuh, tiga kes jambatan rosak atau runtuh dan satu kes jalan mendap.

Maklumat terkini lokasi terlibat dan bencana boleh dirujuk di laman rasmi BigBen JKR di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.