
Beliau menegaskan bahawa sistem berkenaan dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.
“Saya mengambil maklum siaran sosial media oleh stesen radio BFM89.9 mengenai Dr Cher Han Lau, Ketua Pegawai Eksekutif Accio Technologies, yang mendakwa bahawa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan Padu.
“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan Cher adalah tidak benar,” katanya menerusi kenyataan.
Rafizi berkata, pasukan analitik PADU menjemput Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia dalam sains data, berdasarkan keupayaan beliau membangunkan data raya dan “machine learning”.
“Proses pembangunan Padu, pengumpulan atau pembersihan data Padu tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau,” katanya.
Padu yang dilancarkan 2 Jan lepas merupakan pangkalan data yang mengandungi profil warganegara dan pemastautin tetap Malaysia bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar.
Sistem itu dibangunkan secara bersama menggunakan kepakaran dalaman daripada Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu) dengan kerjasama pelbagai agensi pembekal data.