6 bulan diabai, 21 ‘Bangla’ disyaki mangsa pemerdagangan diselamat

6 bulan diabai, 21 ‘Bangla’ disyaki mangsa pemerdagangan diselamat

Mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh syarikat.

Jabatan Imigresen menyelamatkan 21 warga Bangladesh dalam serbuan di Klang.
PETALING JAYA:
Seramai 21 lelaki warga Bangladesh disyaki mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan tempat tinggal mereka di Klang.

Dalam kenyataan, JIM berkata mereka dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dengan dijanjikan pekerjaan oleh syarikat.

“Mereka diabaikan tanpa sebarang pekerjaan selama lebih kurang enam bulan serta terdapat antara mereka yang mempunyai pas lawatan kerja sementara sah tetapi tidak diberi upah (gaji) oleh majikan.

“Pasport mereka turut dipegang dan disimpan majikan tanpa kerelaan,” katanya.

JIM berkata, warga asing diselamatkan terdiri 21 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Katanya, semua warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi dijalankan hasil aduan awam dan maklumat risikan.

“Operasi turut menggunakan pendekatan siasatan awal bagi pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0,” katanya.

JIM akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak didapati melakukan kesalahan bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.