Tiada hasrat bawa pulang ‘Raja Dadah’, kata Bukit Aman

Tiada hasrat bawa pulang ‘Raja Dadah’, kata Bukit Aman

Timbalan ketua polis negara menyerahkan pendakwaan terhadap lelaki itu dilakukan di Thailand.

Seorang warga Malaysia didakwa sebagai ‘Raja dadah’ yang dikehendaki di Thailand ditahan pihak berkuasa Laos pada 29 Dis lalu.
KUALA LUMPUR:
Polis tidak berhasrat membawa pulang lelaki warganegara Malaysia yang ditangkap pihak berkuasa Thailand berkaitan kes dadah hujung Disember lalu, kata Ayob Khan Mydin Pitchay.

Timbalan ketua polis negara berkata, pihaknya menyerahkan kepada Thailand mengambil tindakan selanjutnya terhadap lelaki berusia 41 tahun berasal dari Perak itu.

“Lelaki ini sudah berkahwin dengan wanita Thailand, ditangkap di Laos setakat ini, tiada rancangan untuk bawa dia balik (ke Malaysia).

“Dia ditangkap dan telah pun diserahkan kepada Thailand dan biarlah dia menghadapi pertuduhan di Thailand atas aktiviti dadah. Kalau Thailand ada cukup bukti untuk mengambil tindakan ke atasnya, Thailand ambil,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Katanya, polis menyerahkan kepada pihak berkuasa negara itu jika terdapat rakyat Malaysia lain yang melanggar undang-undang negara berkenaan.

“Ya, mana-mana warganegara Malaysia yang berada di luar negara yang melanggar undang-undang negara tersebut, kita serahkan kepada negara tersebut untuk mengambil tindakan,” katanya.

Lelaki itu yang didakwa sebagai “Raja Dadah” dan anggota penting sindiket dikehendaki di Thailand kerana aktiviti penyeludupan dadah ditahan dalam operasi bersama Thailand-Laos pada 29 Dis.

Dia turut disyaki menjadi dalang utama membekal dan menyelaras aktiviti dadah di kawasan Segitiga Emas, sejak 2006.

Suspek dipercayai terlibat dalam rangkaian dadah di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura, dan Laos dengan menggunakan Thailand bagi aktiviti pengubahan wang haram dan lokasi transit penyeludupan dadah ke negara ketiga seperti Malaysia, Taiwan, dan Australia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.