
Bagaimanapun, perdana menteri berkata beliau akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terlebih dahulu bagi mengelakkan kontroversi berulang.
“Saya syukur kerana apa yang saya lontarkan di perhimpunan JPM sebelum ini (berhubung kisah Ashabul Kahfi) menimbulkan minat terutama anak-anak muda untuk membaca dan menelaah.
“Saya anggap penting bulan-bulan lain. Saya baca ayat Quran lain dan tafsir supaya menggalakkan ada perbahasan lain. Tapi saya rujuk Jakim dulu supaya nak mengelak kontroversi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun kisah Ashabul Kahfi dipetik sebelum ini menimbulkan kontroversi sehingga “diserang” pelbagai pihak, beliau menganggap ia perkembangan positif.
“Pada saya eloklah kalau pemimpin-pemimpin bila bercakap ada rujuk al-Quran, rujuk hadis walaupun saya tidak termasuk dalam golongan orang lama, tapi kupasan itu tidak bercanggah dengan pemahaman Islam.
“Tapi dalam kes ini saya sebut bukan saya nak pertahan pendirian saya, saya baca ayat Quran dan ada yang mengupas seolah-olah saya tidak baca ayat Quran.
“Saya ulang teliti semula ucapan dirakam dan maksud saya ialah kita dalam keghairahan memacu pertumbuhan ekonomi digital, meningkat mutu kesihatan jangan tinggal soal nilai kemanusiaan, keadilan dan akhlak baik itu yang ditekankan dan ini juga pengajaran daripada kisah (Ashabul Kahfi),” katanya.
Sebelum ini, seorang penceramah terkenal dari Terengganu mengupas ucapan Anwar berhubung tujuh pemuda Ashabul Kahfi dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri bulan lalu.
Namun, Anwar menjelaskan pandangannya mengenai kisah itu disalah tafsir pihak tertentu.
Katanya, ada yang mengupas pandangan itu sehingga menimbulkan cacian dan cemuhan kepada sesetengah pihak termasuk pendakwah serta ulama.
Beliau menyifatkan perkara itu keterlaluan dan tidak sepatutnya berlaku.