Segera audit forensik dana Mitra; umum hasil, kerajaan diberitahu

Segera audit forensik dana Mitra; umum hasil, kerajaan diberitahu

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan berkata hanya audit forensik dapat merungkai semua isu termasuk dakwaan ketirisan dana itu.

R Sri Sanjeevan menuntut Anwar Ibrahim mengotakan janjinya ketika menjadi pembangkang untuk melakukan audit forensik ke atas institusi berkaitan masyarakat India, termasuk Mitra. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perpaduan digesa menyegerakan audit forensik ke atas dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dan mengumumkan hasilnya supaya rakyat tahu perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan serta salah guna kuasa.

Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan berkata, hanya audit forensik dapat merungkai semua isu, termasuk dakwaan ketirisan dana itu.

Beliau menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengotakan janjinya ketika menjadi pembangkang untuk melakukan audit forensik ke atas institusi berkaitan masyarakat India, termasuk Mitra.

“Kalau tak buat audit forensik, sampai bila pun masalah dalam Mitra, termasuk kononnya wujud unsur rasuah akan berlarutan dan hasil dapatan audit forensik itu nanti perlu didedah kepada umum,” katanya kepada FMT.

Ketika menjadi ketua pembangkang, Anwar pada September 2022 berjanji jika Pakatan Harapan kembali menerajui Putrajaya, mereka akan melakukan audit forensik ke atas tiga institusi berkaitan masyarakat India, iaitu syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Mitra.

Sehingga kini, Mitra hanya diaudit Jabatan Audit Negara di bawah pentadbiran lalu.

Sanjeevan mencadangkan dana tahunan Mitra sebanyak RM100 juta dikhususkan untuk program tertentu bagi memastikan ia menampakkan hasil, contohnya tahun ini pendidikan dan tahun depan usahawan.

“Kalau dana RM100 juta itu diberikan untuk pelbagai program, hasilnya tak berapa nampak sebab RM100 juta bukan besar jumlahnya. Jadi, lebih baik kita kecilkan skop program dan hasilnya nampak besar.”

Beliau menyarankan dana Mitra digunakan lebih untuk pendidikan yang mampu mengubah nasib kaum India, di mana pelajar B40 yang masuk universiti diberikan RM2,000 seorang.

“Kalau tak ada duit, macam mana mereka nak belajar, nak ubah masa depan keluarga?

“Kalau tak belajar, mereka terdedah kepada aktiviti gengster dan sebagainya, jadi gejala sosial akan terus ada.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.