
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan sektor perladangan bekerjasama dengan MPOB bagi memanfaatkan peluang mengetengahkan hasil penyelidikan seperti penggunaan bahan penanaman berkualiti yang diperoleh daripada kemajuan bioteknologi serta teknik kultur tisu.
“Industri minyak sawit memberi sumbangan penting kepada ekonomi Malaysia yang menjana pendapatan negara melebihi RM130 bilion,” katanya dalam kenyataan MPOB bersempena kunjungan beliau ke agensi itu, hari ini.
Dalam lawatan itu, Johari telah diberi taklimat mengenai peranan MPOB serta kemajuan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan berkaitan minyak sawit.
Setakat ini, MPOB telah membangunkan sebanyak 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan tanaman komoditi itu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 233 atau 32.7% daripada teknologi berkenaan telah dikomersialkan dan diguna pakai oleh kalangan industri serta usahawan tempatan.