Jahil, mudah terpedaya faktor beli ubat ‘online’ tak berdaftar

Jahil, mudah terpedaya faktor beli ubat ‘online’ tak berdaftar

Pakar berkata orang ramai terpesona dengan dakwaan daripada pempengaruh media sosial berbanding mendapatkan nasihat profesional kesihatan.

Pihak berkuasa menyekat 1,675 laman web menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar pada awal Oktober tahun lalu. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Sejumlah besar laman web menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar menunjukkan ada permintaan tinggi daripada orang awam, kata dua kumpulan farmaseutikal.

Presiden Persatuan Farmaseutikal Malaysia Kam Ai Teng, berkata ketersediaan pembelian dalam talian meliputi makanan sehingga ke fesyen, hadiah, buku, barang runcit, dan perubatan menjadikan orang ramai “terlalu mempercayai pembelian mereka”.

“Ini membuatkan mereka lupa ubatan bukan produk biasa pengguna, dan memerlukan nasihat profesional sebelum pengambilan apa jua bentuk ubat, sama ada moden atau tradisional,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu Bernama melaporkan, pihak berkuasa menyekat 1,675 laman web menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar dan merampas pelbagai produk bernilai lebih RM500,000, pada awal Oktober tahun lalu.

Kejahilan pengguna

Kam berkata, kos murah tidak semestinya menjadi daya tarikan utama pembelian ubatan tidak berdaftar selain kurang pengetahuan dalam kalangan pengguna mampu mengundang bahaya.

“Ada ubatan tidak tersedia atau berdaftar di Malaysia, namun boleh dibeli secara dalam talian,” katanya sambil menambah teknologi semasa memudahkan pemasaran mencapai sasaran pengguna.

Katanya, antibiotik umpamanya tidak sepatutnya dibeli dan diambil tanpa nasihat perubatan bagi mengelak “rintangan antimikrobial” yang disebabkan penyalahgunaan jangka panjang, yang mana kuman menjadi kebal terhadap ubatan, justeru menjejaskan keberkesanannya.

Kam berkata, orang ramai juga terlalu mudah terpedaya dengan syor dibuat pempengaruh media sosial.

Presiden Persatuan Ahli Farmasi Malaysia Amrahi Buang pula merujuk pengiklanan keterlaluan produk dijual dalam laman web, selain amalan tidak beretika kumpulan peniaga tertentu, termasuk melibatkan profesional kesihatan dan pempengaruh sosial.

“Orang ramai lebih mempercayai dakwaan dibuat kerana mereka kurang celik maklumat kesihatan dan ubatan, sekali gus mewujudkan permintaan tinggi,” katanya.

Bahaya produk tak berdaftar

Amrahi berkata, kualiti, keselamatan, dan efikasi ubatan yang dijual secara haram tidak boleh disahkan kerana tidak berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

Kam berkata, pembelian ubatan tidak berdaftar meletakkan pengguna dalam situasi bahaya kesan sampingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.