Isu kartel beras, KPKM sedia audit 39,000 pemegang lesen borong

Isu kartel beras, KPKM sedia audit 39,000 pemegang lesen borong

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pihaknya akan menjalankan siasatan dan bertindak bersama KPDN.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata terdapat juga kes yang berada di peringkat pendakwaan berhubung isu kartel beras. (Gambar Fail)
BACHOK:
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersedia menjalankan audit terhadap pemegang lesen borong beras, eksport, import, kilang padi, membeli padi, beras runcit dan kelulusan khas menjual benih padi bagi benih padi sah (BPS) bagi membanteras isu kartel.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pada masa ini, terdapat seramai 39,000 daripada mereka yang terlibat dalam industri makanan tersebut.

“Saya sendiri turun secara mengejut tanpa memaklumkan kepada mana-mana pihak berhubung kedudukan beras dan segala bentuk pemakanan di negara ini.

“Alhamdulillah, sekarang ini masalah ini beransur pulih kerana kami bertindak bersama semua pihak dan kalau ada yang melanggar undang-undang, kami yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bertindak seperti yang kami buat pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Pembiakan dan Penternakan Lembu Wagyu di Ladang Kelfarm Sdn Bhd yang dihadiri Pengarah Eksekutif Syarikat Kelfarm Sdn Bhd Paizol Akman Awang di Kampung Seneng Jelawat, di sini, hari ini.

Mohamad berkata melalui agensinya iaitu Kawal Sedia Padi dan Beras Negara (KSPBN) pihaknya menjalankan siasatan dan bertindak berdasarkan fakta bersama KPDN.

“Kami bertindak apabila ada fakta dan kami tidak mahu hebahkan satu-satu perkara, dalam masa yang sama, kami lakukan siasatan bersama KPDN kerana mereka ini yang bertindak menjaga hal-hal berkaitan kartel.

“Sekarang terdapat kes yang berada di peringkat pendakwaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.