Warga emas ditemukan lemas dalam kolam kondominium

Warga emas ditemukan lemas dalam kolam kondominium

Mangsa berusia 73 tahun ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar dari kolam renang oleh ahli keluarganya.

Menurut polis, siasatan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas dalam kolam renang di sebuah kondominium di Taman OUG, Jalan Puchong, kelmarin.

Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 6.04 petang.

Katanya, sepasukan polis yang tiba di lokasi kemudian mendapati mangsa berusia 73 tahun tidak sedarkan diri sebelum dibawa keluar dari kolam renang oleh ahli keluarganya.

“Ketika kejadian, mangsa yang menghidap penyakit jantung kronik melakukan aktiviti renang sebagai terapi seperti disarankan pakar perubatannya.

“Hasil siasatan lanjut dijalankan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Berita Harian.

Menurutnya, mayat sudah dituntut pihak keluarga dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.