
Tegasnya, beliau selaku pemimpin kerajaan negeri tidak boleh ‘tutup mata’ pada masalah mendatang, dan mengalih tanggungjawab pada ketua menteri akan datang semata-mata tidak mahu dimarahi pada masa sekarang.
“Selaku pemimpin kerajaan negeri dan pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), adalah wajar untuk saya bertindak agar rakyat tidak alami kerugian yang lagi teruk,” katanya, lapor Guang Ming Daily.
Menurut dapatan PBAPP, katanya, kebanyakan paip air berusia melebihi 50 tahun dan terdapat purata 15 kes kebocoran paip pada setiap hari.
“Paip ini dah berkali-kali rosak dan dibaiki semula. Ia mungkin pecah pada bila-bila masa sahaja akibat kesan tekanan air yang tinggi,” katanya.
“Saya harap rakyat Pulau Pinang boleh faham bahawa keputusan ini dibuat secara kolektif oleh lembaga pengarah PBAPP dan juga exco kerajaan negeri. Ia bukan keputusan sewenang-wenang saya seorang sahaja.”
Chow akui gangguan berjadual selama 96 jam itu suatu cabaran yang besar baginya, selama menjadi ketua menteri.
Gangguan bekalan berjadual selama empat hari telah dirancang pada minggu depan, untuk baiki injap utama di sebuah loji rawatan air.
Penutupan operasi itu itu akan memberi kesan kepada kira-kira 590,000 pengguna, bersamaan 80% penduduk negeri itu.
Rakyat Pulau Pinang mengalami gangguan bekalan air selama empat hari bulan lalu, selepas paip utama di Sungai Muda pecah.