Pusat servis terbakar, 8 kereta hangus

Pusat servis terbakar, 8 kereta hangus

Kejadian tidak membabitkan mangsa dan setakat ini punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, Kuala Lumpur, terbakar pagi tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Lapan kereta musnah dalam kebakaran sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Segambut Selatan, Taman Segambut, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada 8.08 pagi, menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul ke lokasi bagi memadam kebakaran.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hafizan Hassan, berkata operasi memadam kebakaran turut dibantu pasukan dari BBP Jinjang dan Hang Tuah dengan kekuatan 27 anggota bersama tiga jentera dan “water tanker”.

“Pasukan bomba pertama tiba di lokasi pada 8.16 pagi dan kebakaran didapati membabitkan sebuah bangunan kilang yang menempatkan pusat servis kenderaan.

“Premis yang terbakar berkeluasan 2,500 kaki persegi (232 meter persegi) dan kebakaran memusnahkan bilik penyimpanan alat ganti di tingkat satu serta bilik fail yang berada di tingkat dua dengan anggaran kemusnahan 100%.

“Dalam pada itu, lapan kereta yang terdapat dalam bangunan berkenaan turut terbakar dengan kerosakan kira-kira 70%,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Kejadian tidak membabitkan mangsa dan setakat ini punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.