Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Rompin

Hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Rompin

Banjir juga dijangka berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian.

Hujan lebat berterusan tahap buruk juga diramalkan berlaku hingga Isnin melibatkan Pekan di Pahang dan beberapa kawasan di Johor. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya berlaku di Rompin, Pahang bermula hari ini hingga esok.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk diramalkan berlaku hingga Isnin melibatkan Pekan di Pahang dan beberapa kawasan di Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Pahang melibatkan Maran, Kuantan dan Bera serta Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru), lapor Bernama.

Sementara itu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran memberi amaran banjir dijangka berlaku secara berperingkat di beberapa daerah di Johor iaitu Kulai, Johor Bahru dan Pontian hingga 5 petang ini.

PRABN dalam satu kenyataan berkata, lokasi dijangka mengalami banjir adalah di kawasan rendah dalam lingkungan 5km di sekitar sungai terlibat di tiga daerah terbabit iaitu Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya di Kulai.

Di Johor Bahru pula membabitkan kawasan rendah di sekitar Sungai Tiram di Kampung Dagang, Sungai Skudai di Kampung Laut dan Kampung Pasir, manakala di Pontian lokasi diramal terjejas adalah di sekitar Sungai Ayer Hitam di Kampung Paya Embun.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan. Daerah-daerah lain yang tidak termasuk dalam amaran banjir monsun ini diminta untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai diminta melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicInfoBanjir untuk maklumat lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.