
Presiden Adzmi Hassan berkata, harga pasaran komoditi yang rendah menyebabkan produktiviti turut terkesan kerana tiada buruh ingin bekerja di ladang getah.
“Isu pokoknya harga getah tak berbaloi dah (untuk diusahakan), pekerja tempatan nak kerja dah tua. Bila upah orang buat…upahnya 50/50, katalah harga RM3 sekilogram, baru dapat RM1.50 seorang.

“Keduanya…dahlah harga rendah, produktiviti rendah, pendapatan kurang, jadi tuan tanah tak baja (pokok getah), kualiti lagi rendah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, selain itu peraturan semasa turut membuatkan sukar bagi pekebun kecil mendapatkan tenaga buruh asing untuk bekerja di ladang mereka jika saiz ladang kurang 10 hektar.
“Tapi pekerja luar juga tak nak masuk (kerja toreh getah), kos sara hidup tinggi, duit Malaysia rendah, pendapatan mereka jadi tidak beberapa. Selain itu, faktor terbesar (juga termasuklah) pekebun kecil tak boleh ambil orang luar (buruh asing).
“Isu buruh ini tidak berbaloi jadi maknanya ia tak berbaloi kalau nak buat (upah pekerja asing),” katanya.
Adzmi bersetuju dengan kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani sebelum ini, negara memerlukan antara 70,000 hingga 80,000 pekerja dalam sektor perladangan getah.
Jumlah itu bagi menampung keperluan di kira-kira 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil.
“Ada penoreh terpaksa usahakan sebab bergantung kepada hasil getah semata-mata, terpaksa jugalah, ada yang bekerja sendiri boleh toreh.
“Ada juga yang bergantung kepada penoreh sambilan seperti bekas tentera, cukup pendapatan sekitar RM20 sehari…itu bukan penoreh tetap,” kata Adzmi.
Menurutya, harga pasaran semasa getah sekitar RM2.70 sekilogram dan penoreh turut diberi insentif Lembaga Getah Malaysia, menjadikan mereka dibayar sekitar RM3.50 sekilogram.
“Semua faktor ini menyebabkan pendapatan kurang, jadi orang tak berminat menoreh,” katanya.