Budak perempuan 9 tahun lemas di Pulau Banding

Budak perempuan 9 tahun lemas di Pulau Banding

Polis berkata kanak-kanak itu dilaporkan bermain di jeti sebelum disedari hilang oleh bapanya.

Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood berkata laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan oleh lemas dan tidak menemukan sebarang bukti ada unsur jenayah. (Gambar Pexels)
IPOH:
Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun lemas di Jeti Mat Shah, Pulau Banding, Gerik, semalam.

Ketua Polis Gerik Zulkifli Mahmood dalam kenyataan berkata sepasukan polis dari Balai Polis Bersia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkaitan insiden itu kira-kira 8.20 malam.

Beliau berkata siasatan awal melibatkan pemeriksaan luaran badan mangsa serta di sekitar tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

Zulkifli berkata menurut bapa mangsa yang berusia 40 tahun dan merupakan pekerja di Pulau Banding, pada kira-kira 6 petang semalam anaknya bermain air bersama rakan di tepi Pulau Banding di tempat letak bot di jeti tersebut.

“Mangsa disedari hilang pada 6.30 petang dan beliau berusaha mencari bersama rakan-rakannya.

“Lebih kurang pukul 6.50 petang, anaknya ditemui di tepi pulau, belakang bot berhampiran rumah bot dalam keadaan lemas di dasar pulau pada kedalaman lebih kurang 1.82m dan terus menghubungi pihak Hospital Gerik,” katanya.

Beliau berkata bedah siasat telah dijalankan pihak perubatan Hospital Gerik yang mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan oleh lemas dan pemeriksaan lanjut tidak menemukan kecederaan lain atau sebarang unsur jenayah.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.