
Pemilik kenderaan itu, Nagakanni Subramaniam berkata, syarikat tersebut juga menawarkan kepadanya untuk membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman sama atau menolak tawaran berkenaan dan membeli yang lain.
Katanya, keputusan itu melegakannya yang tidak perlu lagi membayar ansuran bulanan dan bayaran dibuat sebelum ini akan dipulangkan semula.
“Saya perlu membuat keputusan dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini.
“Paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini. Saya terhutang budi dengan anda,” katanya.
Wanita itu turut berterima kasih kepada warganet yang membantunya dalam usaha menuntut hak daripada syarikat terbabit.
“Perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukanlah sesuatu yang mudah untuk saya seorang kerani yang hanya ‘semut’ ini.
“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya. Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya.
Nagakanni sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila Perodua Bezza dibelinya pada 17 Okt lalu rosak selepas lapan jam.
Dia mendakwa tiada sebarang penyelesaian dengan syarikat tersebut selain terpaksa membayar ansuran bulanan RM537 walaupun masih rosak.