7 hingga 8 Ahli Parlimen pembangkang tunggu masa sokong PM, dakwa Syed Hussin

7 hingga 8 Ahli Parlimen pembangkang tunggu masa sokong PM, dakwa Syed Hussin

Ahli Parlimen Bukit Gantang yang menyokong Anwar Ibrahim November lalu berkata wakil rakyat pembangkang tunggu masa sesuai buat pengumuman.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata Ahli Parlimen terbabit merancang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar Ibrahim atas dasar untuk mendapatkan peruntukan. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Wakil rakyat Bersatu yang menyokong Anwar Ibrahim mendakwa tujuh hingga lapan Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan kepada perdana menteri tidak lama lagi, di sebalik khabar angin rancangan menukar kerajaan melalui “Langkah Dubai”.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang mengumumkan sokongan kepada Anwar November tahun lalu mendakwa, mereka menunggu sidang Dewan Rakyat bersambung bulan depan sebelum mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

“Tujuh hingga lapan orang Ahli Parlimen tunggu masa (isytihar sokong Anwar). Mereka ambil pendekatan untuk tunggu sebab Parlimen akan bersidang 26 Feb.

“Mereka tengah tunggu dan lihat apa akan berlaku sepanjang dua bulan ini,” katanya dalam majlis di PPR Kerinchi.

Syed Hussin berkata, Ahli Parlimen terbabit merancang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar atas dasar untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan mereka.

Bulan lalu, Syed Hussin mengumumkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dari kawasan majoriti Melayu di beberapa negeri merancang memberi sokongan kepada Anwar.

Syed Hussin adalah Ahli Parlimen Bersatu kelima yang menyokong Anwar tahun lalu. Empat lagi ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Spekulasi mengenai “Langkah Dubai” timbul susulan perbincangan yang didakwa antara pemimpin pembangkang dan wakil kerajaan tertentu semasa lawatan ke Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas antara “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang untuk membentuk kerajaan baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.