
Bagaimanapun, kata Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang Wan Sajiri Wan Hassan, pelajar Tingkatan Lima dan Kolej Pra-Universiti akan belajar seperti biasa di sekolah disebabkan peperiksaan yang telah dijadualkan.
“Kami telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan PdPR di semua sekolah sepanjang tempoh gangguan bekalan air.
“(Jabatan) akan mengedar surat makluman berhubung pembelajaran menerusi PdPR kepada pihak sekolah dalam masa terdekat ini,” katanya hari ini.
Seramai 590,000 pengguna air termasuk bukan domestik dijangka terkesan oleh ketiadaan bekalan susulan penutupan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian dua unit injap 1,200mm yang rosak.
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan gangguan berjadual selama 98 jam itu, bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan, turut membabitkan kerja sampingan lain di 22 lokasi seluruh Pulau Pinang.