Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar Padu

Perak sasar 1.8 juta penduduk daftar Padu

Susulan pelancarannya pada 2 Jan lepas, seramai 45,655 penduduk Perak direkodkan telah mendaftar dalam Padu, kata exco.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak Mohd Azlan Helmi menyantuni warga emas ketika melawat Pusat Internet Komuniti Kampung Tersusun Batu 8, Ulu Kinta hari ini. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Perak optimis 1.8 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negeri ini akan mendaftar dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) menjelang hujung Mac.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Mohd Azlan Helmi berkata, selepas dilancarkan pada 2 Jan lepas, seramai 45,655 penduduk direkodkan telah mendaftar .

“Jumlah terkini yang dikeluarkan melalui dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, Perak direkodkan sebagai negeri ketiga tertinggi yang mendaftar dalam sistem tersebut.

“Bagi mencapai sasaran penuh, iaitu 1.8 juta penduduk berdaftar melalui sistem ini, kita telah menawarkan perkhidmatan di 70 PEDi serta 13 Pejabat Penerangan Daerah di Perak, khusus untuk membantu masyarakat mengisi permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter Pendaftaran Padu di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Batu 8, Tambun hari ini.

Padu dibangunkan menerusi kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), selain dibantu pelbagai pihak pada peringkat negeri.

Semua warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia berusia 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal Padu serta mengemas kini dan mengesahkan 39 butiran maklumat diri.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, pihaknya juga akan mengadakan taklimat kepada semua Adun agar mereka dapat membantu memudahkan rakyat, terutama di kawasan pedalaman, berdaftar dalam sistem tersebut.

Selain itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan atas pelaksanaan Padu.

“Sebelum ini, kita pernah lihat cubaan ‘scammer’ untuk memanipulasi orang ramai melalui pautan yang terus kepada sindiket penipuan tersebut,” katanya.

“Jadi saya menasihatkan rakyat yang mempunyai kemusykilan berhubung Padu agar berhubung terus dengan agensi atau jabatan berkaitan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.