
Nur Aida Arifin dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu mahkamah tiada pegawai kerajaan menghadiri pertemuan itu di atas kapal layar “RM Elegance”.
“Ia tak ikut saluran sewajarnya dan membawa kerugian besar kepada Malaysia kerana negara terpaksa menanggung pinjaman 1MDB sebagai jaminan.
“Sebagai perdana menteri, beliau (Najib) sepatutnya tahu perbincangan kerajaan dengan kerajaan perlu melalui saluran diplomatik sewajarnya, bukannya perbincangan tak rasmi di atas kapal layar.”
Beliau berkata, siasatannya menunjukkan Najib dan ahli keluarganya menemui seorang Putera Turki dan Pengarah Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid untuk minum.
Katanya, ahli perniagaan buruan Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low turut serta dalam pertemuan itu.
“Ada perbincangan mengenai kerjasama perniagaan antara kerajaan Saudi dan Malaysia (dalam pertemuan itu).”
Tidak lama selepas pertemuan itu, Aida berkata, Putera Turki menghantar surat kepada Najib menyuarakan hasrat kerajaan Saudi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama.
1MDB kemudiannya memeterai usaha sama dengan PSI, di mana 1MDB wajib melabur USD1 bilion dengan mendepositkan dana itu ke dalam akaun usaha sama.
Tetapi, hanya USD300 juta dipindahkan ke akaun usaha sama 1MDB-PSI, manakala baki USD700 juta dihantar kepada Good Star Limited, syarikat dikuasai Low.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang dan salah guna kuasa membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.