
Exco negeri Lee Ting Han mengesahkan bahawa cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi, lapor Straits Times. Iskandar Malaysia “siap untuk menjadi SEZ”, katanya.
Lee, yang mengetuai jawatankuasa pelaburan, perdagangan dan hal ehwal pengguna berkata, Iskandar Malaysia mempunyai prasarana dan kemudahan yang diperlukan untuk pelaksanaan SEZ, termasuk lebuh raya, pelabuhan, perbandaran dan institusi pendidikan.
Pada Julai, Malaysia dan Singapura bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas untuk mengkaji penubuhan SEZ Johor-Singapura, yang dijangka berpangkalan di wilayah Iskandar Malaysia.
Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi bertemu dengan pelabur Singapura untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas mengenai SEZ.
Pada 14 Jan, perdana menteri kedua-dua negara dijangka menandatangani perjanjian berhubung penubuhan zon itu.
“Koridor pertumbuhan Iskandar akan menjadi permulaan yang baik kerana kawasan itu merangkumi rancangan pembangunan bersepadu Ibrahim Technopolis di bandar Sedenak, kawasan perindustrian berat di Pasir Gudang, dan cadangan zon kewangan khas di Forest City,” kata Lee.
Beliau berkata, koridor pembangunan Iskandar, merangkumi Johor Bahru, Iskandar Puteri, Kulai dan beberapa bahagian Pontian, dijangka menarik RM400 bilion pelaburan sejak penubuhannya sehingga 2023.
Bagaimanapun, unjuran ini terjejas apabila wabak Covid-19 melanda dan sekatan perjalanan dikenakan, yang menyumbang kepada banyak hartanah tidak terjual di wilayah itu.
Lee berkata, perjanjian yang menggariskan butiran SEZ dijangka ditandatangani pada suku keempat tahun ini.
Iskandar Malaysia, sebelum ini dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Johor Selatan, dibangunkan pada 2006.
Pada Ogos 2022, menteri hal ehwal ekonomi ketika itu, Mustapa Mohamed berkata, koridor itu mencatatkan sejumlah RM368 bilion pelaburan komited dari 2006 hingga Jun 2022, dengan RM219 bilion telah “direalisasikan”.
Selepas China, Singapura ialah pelabur asing kedua terbesar dengan pelaburan bernilai RM33 bilion setakat Jun 2023, melibatkan sektor-sektor seperti pembuatan, penjagaan kesihatan, pendidikan, perkhidmatan perniagaan dan pembangunan estet perindustrian.
Memetik sumber kerajaan, Straits Times melaporkan sasaran Malaysia untuk menarik pelaburan dalam sembilan sektor tertentu, iaitu tenaga, pelancongan, pembuatan, logistik, kesihatan, perkhidmatan kewangan, pendidikan, ekonomi digital dan perkhidmatan perniagaan.
Lee berkata, SEZ akan memudahkan pergerakan orang dan barangan merentasi Tambak yang sesak, dengan layanan istimewa disediakan untuk golongan profesional, pengurus, eksekutif dan juruteknik mendapatkan visa yang diperlukan di pusat sehenti.