
Justeru, bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah mencadangkan Ketua Bersatu Jelebu Rais Yatim atau Adun Labu Mohamad Hanifah Abu Baker mengisi jawatan itu.
“Lebih sesuai diberi peluang kepada muka baharu berpengalaman atau wakil rakyat baharu yang energetik dan sentiasa teruskan perjuangan parti.
“Rais mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kemampuan mentadbir. Hanifah juga agak sesuai sebab wakil rakyat. Saya fikir ini baik untuk imej parti,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada FMT.
Eddin mengulas cadangan Ketua Sayap Bersekutu Negeri Sembilan, R Sri Sanjeevan, supaya beliau dilantik semula sebagai pengerusi PN negeri itu menggantikan Faizal atau lebih dikenali Peja.
Selain Eddin, Sanjeevan pada Rabu lalu turut menamakan dua lagi individu “anak tempatan” iaitu Hanifah dan Setiausaha Bersatu Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus.
Eddin pernah mengetuai PN negeri, namun digantikan Peja pada Jun tahun lalu, dua bulan sebelum PRN.
Faizal, yang juga timbalan presiden Bersatu menerima kritikan selain dinasihatkan melepaskan jawatan disandangnya oleh pimpinan negeri terutama daripada Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha.
November lalu, Rafiei yang juga timbalan pengerusi PN negeri menuntut Peja segera meletak jawatan kerana didakwa “tidak lagi berminat” menerajui gabungan itu di negeri terbabit, selain didakwa gagal memainkan peranan sebaik mungkin selepas PRN berakhir Ogos lalu.
Sementara itu, Eddin berkata cadangan supaya beliau dilantik semula hanya pandangan peribadi sesetengah individu.
Beliau turut menggesa pimpinan tertinggi PN segera bertindak menggantikan Peja susulan bimbang sokongan pengundi kepada Bersatu dan gabungan itu semakin kendur kerana penyokong tidak mengetahui hala tuju jelas perjuangan parti.
“Jangan ambil terlalu lama sebab dalam keadaan sekarang pengundi khususnya di Negeri Sembilan sudah menunjukkan tanda-tanda minat kepada PN dan Bersatu.
“Kalau kita tak ambil peluang ini, seakan-akan di Negeri Sembilan sudah kehilangan punca atau tidak mempunyai hala tuju jelas dalam perjuangan. Jangan matikan minat dan selera penyokong PN,” katanya.