
Difahamkan, tiga remaja berusia 13 hingga 17 tahun itu baru bekerja beberapa bulan di kilang itu dan tinggal di sebuah bilik kecil serta kotor disediakan majikan di bahagian belakang premis terbabit.
Selain mereka bertiga, terdapat 11 lelaki warga asing lain di kilang kitar semula yang memproses barangan terpakai itu.
Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran – Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Soffian Santong berkata, kilang itu mempunyai lesen perniagaan, tetapi sudah tamat tempoh.
Beliau berkata, tiga remaja lelaki terbabit dipercayai dibayar RM1,200 hingga RM1,300 sebulan dan semua warga asing itu diarahkan bekerja dari 9 pagi hingga 9 malam enam hari seminggu.
“Temu bual awal menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar serta bekerja lebih masa selama 12 jam setiap hari,” katanya menurut Harian Metro.
Soffian berkata, semua pergerakan mereka dalam kilang dipantau majikan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar premis.
Katanya, seorang warga India 27 tahun yang disyaki penyelia turut ditahan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, 10 lelaki terdiri daripada dua warga Myanmar, Bangladesh (lima) dan India (tiga) pula ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Serbuan 2.30 petang Khamis itu dijalankan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman dan Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.