SK Temai di Pekan mula sesi bersemuka Isnin depan

SK Temai di Pekan mula sesi bersemuka Isnin depan

Jika belum boleh beroperasi Isnin depan, murid SK Temai akan ditempatkan di PPS Balai Raya Temai Hulu untuk persediaan Ujian Akhir Semester Akademik.

Shafruddin Ali berkata, SK Temai masih dinaiki air setinggi 0.48m hari ini yang dikhuatiri berisiko terhadap keselamatan 128 murid dan 15 guru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sekolah Kebangsaan Temai di Pekan, Pahang yang masih terjejas banjir dijangka memulakan sesi persekolahan bersemuka Isnin depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Profesionalisme (SPP), Shafruddin Ali berkata, sekolah itu masih dinaiki air setinggi 0.48m hari ini yang dikhuatiri berisiko terhadap keselamatan 128 murid dan 15 guru.

“Ketika ini, pelajar sekolah terlibat mengikuti pembelajaran melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak 2 Jan lalu agar tidak tercicir pelajaran.

“Hanya dua sekolah, iaitu SK Temai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai di Pekan yang belum beroperasi ekoran banjir,” katanya menurut Sinar Harian selepas meninjau keadaan di SK Temai hari ini.

Beliau berkata, SMK Paloh Hinai dijangka dibuka semula esok selepas kerja pembersihan selesai dan air surut sepenuhnya hari ini.

Bagi SK Temai pula, katanya, jika belum boleh beroperasi Isnin depan, muridnya akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Temai Hulu untuk persediaan Ujian Akhir Semester Akademik (UASA).

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengepam air dari kawasan itu supaya ia surut segera dan kerja pembersihan dijangka dilakukan Ahad ini, jika air berjaya dipam keluar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.