
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata tawaran itu diputuskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 Dis lalu dan ia berkuat kuasa 2 Jan bagi menggalakkan pemilik tanah dan petak menjelaskan tunggakan cukai sewa tanah mereka.
“Tawaran tersebut akan diberikan secara automatik kepada semua pembayar cukai tanah dan petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat di kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah dan juga secara dalam talian melalui portal PgLAND secara sekali gus.
“Malah, ia juga terpakai kepada pembayar cukai yang menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak),” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Chow berkata tawaran itu tidak terpakai kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
Beliau berkata, penawaran itu juga bukan berbentuk retrospektif dan tidak terpakai kepada orang awam yang sudah membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengurangan tersebut dikuatkuasakan.
“Pentadbiran ini memberi komitmen untuk melaksanakan inisiatif sewajarnya bagi menggalakkan pemilik tanah di Pulau Pinang membayar cukai tanah atau cukai petak sebagaimana digariskan bawah Kanun Tanah Negara dan Kaedah-kaedah Tanah Pulau Pinang.
“Pemilik tanah yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara berkaitan dimohon menghubungi Unit Hasil, Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang atau Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya.