Ladang getah perlu 80,000 pekerja, kata menteri

Ladang getah perlu 80,000 pekerja, kata menteri

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani, berkata 420,000 hektar ladang getah tidak dapat ditoreh susulan kekurangan pekerja.

Johari Ghani berkata, sejak sedekad lalu trend pengeluaran produk getah menurun akibat kekurangan tenaga kerja, kos pengeluaran tinggi, dan saiz pegangan kebun tidak ekonomik. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kira-kira 80,000 pekerja diperlukan dalam sektor perladangan getah bagi menampung keperluan di kira-kira 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani.

“Ada kira-kira 420,000 hektar ladang getah yang tak boleh ditoreh sebab tak ada pekerja, jadi ini adalah satu isu.

“Kalau ikut perkiraan, satu setengah hektar memerlukan seorang pekerja. Jadi, kita perlukan antara 70,000 dan 80,000 pekerja,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Pada 29 Dis, Johari dilaporkan berkata negara telah kehilangan sebanyak RM2.3 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susulan 420,000 hektar ladang getah milik pekebun kecil tidak diusahakan kerana kekurangan sumber tenaga kerja.

Beliau berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, trend pengeluaran produk getah mencatatkan penurunan yang dikenal pasti berpunca daripada beberapa masalah antaranya kekurangan tenaga kerja, kos pengeluaran tinggi, dan saiz pegangan kebun tidak ekonomik.

“Situasi ini akan memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya tiada langkah mitigasi dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Johari turut menekankan aspek kebajikan golongan pekerja termasuk pekerja asing dengan menggesa majikan sektor perladangan agar menyediakan kemudahan penginapan sempurna kepada golongan itu.

“Ini akan beri kesan kepada penarafan dan pensijilan kepada produk yang kita eksport. Perkara ini perlu dititikberatkan, barulah orang akan beli produk negara kita sebab mereka tahu kita mematuhi segalanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.