
Sebagai respons kepada gesaan oleh Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Sanusi berkata, “kuota” cuti umum tahunan untuk Kedah “sudah habis”.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut tentang kuota cuti umum Kedah dan siapa yang menentukannya, sekadar menegaskan ia sudah mencapai “maksimum”.
“Industri marah cuti banyak-banyak. Negeri lain banyak yang tak cuti pun sempena Thaipusam,” tambahnya.
Semalam, Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam menggesa Kedah menetapkan Hari Thaipusam sebagai cuti umum tahunan selepas Sanusi mengumumkan 25 Jan sebagai cuti peristiwa sempena perayaan Hindu itu.
Subramaniam berkata, langkah itu akan menghapuskan perbincangan berkala menjelang Thaipusam, sambil mempamerkan “komitmen Kedah untuk menguruskan hal ehwal bukan Islam dengan cekap”.
Hari Thaipusam ialah cuti umum tahunan bagi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.