
Loke berkata, kecuaian kontraktor projek tempat letak kenderaan bertingkat dikenal pasti sebagai punca kejadian yang mengakibatkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengalami kerugian lebih RM2.4 juta.
Jelasnya, perkara itu dikesan hasil siasatan pihaknya selepas mendapati pihak kontraktor memasuki kawasan larangan berhampiran landasan.
“Pihak Apad akan siapkan kertas siasatan dan serahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan,” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata, Apad sedang melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 128(1)(a) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) agar tindakan sewajarnya dapat diambil berhubung kejadian tersebut.
Katanya, beliau difahamkan bahawa pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut sedang mengkaji punca kuasa yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kontraktor.
“(Sementara itu) Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menilai soal kerosakan dan pampasan yang perlu ditanggung oleh kontraktor (sehingga) menyebabkan kita perlu buat kerja pembaikan,” katanya.
Loke memberi amaran kepada semua kontraktor yang terlibat dalam projek berhampiran dengan landasan KTMB supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta tidak memasuki kawasan larangan agar kejadian sama tidak berulang.
“Ini bukan soal pampasan sahaja, kita kena ada pengajaran kepada semua pihak, kita tak mahu perkara seperti ini berlaku sama sekali.
“Jadi ini peringatan kepada semua kontraktor, jangan pandang remeh isu keselamatan, terutamanya zon larangan keretapi,” katanya.