
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin berkata, dalam memastikan tiada yang terkecuali mendapat manfaat daripada pelaksanaan sistem itu, ia turut melibatkan sesi libat urus bersama kepimpinan kerajaan negeri bagi mencapai sasaran ditetapkan.
“Bagi kawasan pedalaman, gerak kerja pengoperasian telah disusun…komunikasi dan perhubungan dengan kerajaan negeri telah kita adakan melalui sesi libat urus, kita ada bermesyuarat dalam platform majlis statistik data negeri yang dipengerusikan premier, ketua menteri atau menteri besar negeri masing-masing dan ada juga melalui setiausaha kerajaan negeri.
“Kita turunkan juga kepada peringkat daerah dan kita juga berhubung dengan penghulu, ketua komuniti maknanya usaha untuk kita melihat pelaksanaan pendekatan ‘the whole nation’ (pendekatan menyeluruh) itu telah pun dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, beliau berkata, maklum balas diterima daripada Jabatan Perangkaan Negeri dan kakitangan di lapangan bagi penerimaan sistem itu di kawasan luar bandar positif, dengan dibantu usaha penerangan oleh Jabatan Penerangan (Japen).
“Kita juga bekerjasama dengan Japen melalui pelaksanaan program Info On Wheels, iaitu mereka bergerak dan menyampaikan maklumat mengenai Padu dan sebagainya, jadi publisiti itu berjalan secara meluas dan boleh kita nyatakan satu dua, hari ini menunjukkan perkembangan baik dan positif.”
Setakat 8 malam Rabu, Padu merekodkan 396,181 pengguna berdaftar.
Mengenai maklum balas beberapa pihak, terutama berkaitan keselamatan, Uzir berkata, sistem itu yang dibangunkan secara dalaman membuatkan ia tangkas, membolehkan sebarang penambahbaikan dilakukan dengan mudah dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Kita mengalu-alukan maklum balas orang ramai, sebenarnya ini proses untuk kita memupuk budaya digital dalam kalangan rakyat dan cendekiawan dalam negara kerana maklum balas positif itu boleh digunakan.
“Ini yang cantiknya bila sistem itu dibangunkan secara dalaman, kita sendiri boleh tambah baik apabila maklum balas itu benar dan membolehkan ia sentiasa ditambah baik.”
Padu dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (Mampu), dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.