Dilanggar jerung paus, bot nelayan terbelah dua, karam di Langkawi

Dilanggar jerung paus, bot nelayan terbelah dua, karam di Langkawi

Kesemua nelayan berusia antara 23 hingga 58 tahun berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam.

Kesemua nelayan yang terbabit tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Jeti Penarak, Langkawi selepas diselamatkan oleh bot nelayan lain.
(Gambar Maritim Kedah)
ALOR SETAR:
Lima nelayan tempatan selamat selepas bot dinaiki mereka karam akibat dilanggar sekumpulan jerung paus berhampiran Pulau Balar, dekat Langkawi, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Romli Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.30 malam daripada seorang pengadu yang memaklumkan bahawa bot dinaiki rakannya dikhuatiri karam.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan Bot Kilat 6 untuk mengesan bot berkenaan. Kesemua nelayan berusia antara 23 hingga 58 tahun itu berjaya diselamatkan oleh bot nelayan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Mereka memaklumkan bot terbabit terbelah dua akibat dilanggar sekumpulan jerung paus yang berada di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua nelayan terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan dibawa ke Jeti Penarak, Langkawi.

Romli mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut, selain membawa “personal locator beacon” (PLB) sebagai persediaan menghadapi kecemasan.

Untuk sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis menerusi talian 04-9602750 atau talian kecemasan MERS 999.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.