Saifuddin, Sim bincang hala tuju tambah baik pengurusan pekerja asing

Saifuddin, Sim bincang hala tuju tambah baik pengurusan pekerja asing

Perbincangan itu dibuat selepas Saifuddin menerima kunjungan Sim di Kementerian Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail (kiri) dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim ketika pertemuan mereka di Kementerian Dalam Negeri hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengadakan pertemuan untuk membincangkan hala tuju penambahbaikan aspek pengurusan pekerja asing di negara ini.

Perbincangan itu dibuat ketika Saifuddin menerima kunjungan Sim di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

“Pertemuan petang tadi memfokuskan isu yang melibatkan ruang lingkup bersama KDN dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) iaitu hal pengurusan pekerja asing.

“Isu yang hangat melibatkan kes eksploitasi pekerja asing menjadi topik serius yang dibincangkan selain ‘way forward’ bagi tahun 2024 ini terkait elemen penambahbaikan dalam aspek pengurusan pekerja asing di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin juga berkata dalam pertemuan dengan Sim, beberapa hal lain berkaitan yang diperincikan mengenai aspek pengurusan pekerja asing.

“Kami bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan media bersama dalam minggu ini bagi memberi penjelasan terhadap persoalan-persoalan berbangkit,” katanya.

Sebelum ini, kes 171 warga Bangladesh yang tidak diberi pekerjaan selepas dibawa masuk secara sah di negara ini mebangkitkan semula gesaan supaya KSM mengambil alih sepenuhnya pengambilan dan pengurusan pekerja asing dari Kementerian Luar.

Sim memberitahu FMT, kementerian akan memanggil agensi yang membawa mereka masuk dan majikan yang tertera pada dokumentasi mereka untuk siasatan lanjut minggu ini.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersalah,” katanya yang memberitahu kementerian juga akan membantu warga Bangladesh terbabit mendapatkan pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.