Rakyat Malaysia ditahan di Laos, polis siasat kaitan sindiket dadah

Rakyat Malaysia ditahan di Laos, polis siasat kaitan sindiket dadah

Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan Laos susulan penangkapan seorang suspek pada 28 Dis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Kamaruddin Md Din berkata suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan Laos bagi menyiasat kaitan seorang rakyat Malaysia dengan sindiket dadah.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkata ia sedang bekerjasama dengan Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) dan polis Laos bagi menjalankan siasatan lanjut, susulan penangkapan suspek terbabit di Vientiane pada 28 Dis lepas.

“Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket dadah di Malaysia,” kata Pengarah JSJN Mohd Kamaruddin Md Din dalan kenyataan.

Suspek berkenaan dimaklumkan berusia 41 tahun, berasal dari Perak, dan ditahan di ibu negara Laos atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

JSJN memaklumkan bahawa ONCB mencadangkan kepada polis Laos supaya suspek diusir ke Thailand kerana dia disenarai hitamkan di bawah akta kesalahan dadah.

“Segala tindakan yang perlu akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran atau penyeludupan dadah yang menjadi ancaman negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, seorang warga Malaysia yang dikehendaki di Thailand kerana aktiviti penyeludupan dadah ditahan dalam operasi bersama Thailand-Laos minggu lepas.

Warga Malaysia itu didakwa anggota penting sindiket dan dikatakan bersembunyi di Laos, menurut polis Thailand.

Suspek juga dipercayai terlibat dengan rangkaian dadah di seluruh Thailand, Malaysia, China, Singapura dan Laos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.