
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin berkata, dalam surat bertarikh 22 Dis 2009, Najib memaklumkan Jabatan Audit Negara bahawa 1MDB telah melantik Ernst & Young untuk mengaudit penyata kewangannya.
Ini selepas Perbendaharaan mencadangkan ketua audit negara menjalankan usaha wajar dan audit ke atas 1MDB selepas dana yang ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) diambil alih oleh kerajaan persekutuan pada Julai tahun tersebut.
Aida berkata, berikutan pengambilalihan itu, 1MDB berusaha menjalin usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI).
Mengikut terma perjanjian yang dicadangkan, 1MDB dikehendaki mengeluarkan USD1 bilion untuk usaha sama itu. Bagaimanapun, pengarah-pengarah 1MDB tidak dapat bersetuju dengan syarat-syarat tertentu yang dicadangkan oleh PSI, kata Aida.
Menurut Aida, mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan pada 26 Sept 2009 untuk membincangkan terma perjanjian itu turut dihadiri ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low.
Beliau berkata, Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada pengerusi 1MDB ketika itu, Bakke Salleh, ketika mesyuarat sedang berlangsung, untuk bercakap dengan Najib.
Katanya, berdasarkan siasatannya, dalam panggilan itu, Najib memberitahu Bakke untuk “tidak mempersoalkan bagaimana wang itu diperoleh”.
“Beliau (Najib) turut memberitahu Bakke bahawa lembaga itu harus segera mempertimbangkan cadangan PSI dan ‘memuktamadkan’ keputusan mengenainya kerana ia inisiatif ‘government-to-government’,” tambahnya.
Aida berkata, susulan panggilan telefon itu, Bakke memaklumkan mesyuarat itu bahawa Najib telah mengarahkan lembaga untuk meluluskan cadangan usaha sama dengan PSI.
Bakke meletak jawatan pada Oktober 2009, kata Aida, kerana tidak senang dengan tindakan kakitangan pengurusan 1MDB mengingkari arahan dengan memindahkan USD700 juta kepada firma yang tidak dikenali.
Hanya USD300 juta daripada USD1 bilion didepositkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI, dengan bakinya dipindahkan kepada Good Star Ltd, sebuah syarikat yang dikawal oleh Low.
Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 5 Jan.