
Berucap melancarkan Padu hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, melalui sistem berkenaan, setiap ketirisan dalam penyaluran bantuan dan subsidi kerajaan dapat dielakkan.
“Perlu tekad baharu dan jangan tolak ansur kerana tanpa Padu, terlalu banyak ketirisan, banyak kebocoran dan penipuan.
“Kalau tidak, tidak ada sebab masih ada kelompok miskin dalam negara,” katanya.
Anwar menegaskan, penyaluran subsidi tanpa pendekatan digital hanya menyebabkan golongan maha kaya dan warga asing mendapat manfaatnya.
“Subsidi diberi kerajaan dikira dengan nilai ringgit sekarang cecah RM80 bilion, dan tidak mungkin Malaysia bertahan mengurus kewangan belanjawan negara kalau hal ini tidak dapat diperbaiki,” katanya.
Anwar berkata, keupayaan membina Padu jelas menunjukkan jentera kerajaan mampu melaksanakan perkara baharu tanpa bergantung kepada konsultan antarabangsa yang melibatkan kos tinggi.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini berkata, Padu dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama, iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan, serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), di samping kerjasama pelbagai agensi lain.
Sementara itu, Anwar meminta Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali memantau pelaksanaan Padu agar sistem itu mencapai matlamat.
“Padu penting, ia menjamin saluran susbidi sampai, dan tunjukkan keupayaan serta penyertaan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
“Kaedah Padu memaksa setiap warganegara faham mengenai transformasi digital dan guna sistem PADU, dan ia menunjukkan ada kecelikan budaya dan digital,” katanya yang turut mengingatkan seluruh jentera kerajaan agar tidak meninggalkan masyarakat miskin bandar, pedalaman dan desa dalam pelaksanaan Padu.
Padu dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac untuk semua warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.