
Bagaimanapun, ahli jawatankuasa SSP Tian Chua berkata mereka tidak akan berhenti hingga keamanan kekal dan kedaulatan Palestin terjamin.
Bekas naib presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Batu itu berkata, kumpulan itu akan mencari jalan lain untuk terus memberi tekanan kepada AS berhubung konflik di Asia Barat itu.
“Saya puas hati dengan hasil (perhimpunan enam hari) kerana kita berdiri teguh bersolidariti dengan Palestin.
“Bagaimanapun, pada peringkat ini kami belum berpuas hati. Kami akan terus meningkatkan usaha kempen demi mencapai keamanan, keadilan, keselamatan dan maruah untuk Palestin yang berdaulat,” katanya kepada wartawan.
Katanya, kumpulan itu masih belum memutuskan kempen yang seterusnya dan perbincangan lanjut akan dilakukan.
Dalam kemuncak perhimpunan itu malam tadi, peserta membuat beberapa tuntutan termasuk gesaan gencatan senjata serta-merta, menamatkan sistem Apartheid, menghentikan pembersihan etnik dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
“Mulai 1 Jan 2024 rakyat Malaysia akan teguh berdiri dalam bersolidariti dengan rakyat Palestin.
“Kami tidak berganjak dari komitmen kami untuk perjuangan dan akan terus meningkatkan usaha kempen kami demi mencapai keamanan, keadilan, keselamatan dan maruah untuk Palestin yang berdaulat,” kata kumpulan itu.
Perhimpunan selama enam hari bermula 26 Dis lalu itu disertai pelbagai NGO dan tokoh politik.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang hadir memberi ucapan malam tadi turut menggesa rakyat Malaysia meneruskan memboikot produk dan jenama yang dikaitkan dengan Israel atau yang menyokong rejim itu.
Turut hadir memberi ucapan termasuklah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali dan pemangku Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz.