Ubah kaedah pembelajaran, tingkat minat murid DLP kuasai BM

Ubah kaedah pembelajaran, tingkat minat murid DLP kuasai BM

Pakar pendidikan Hasnah Toran berkata pembelajaran bahasa Melayu dan ibunda harus lebih menyeronokkan, bukan berorientasikan peperiksaan.

Tinjauan KPM mendapati ada murid di sekolah melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) tidak menguasai bahasa Melayu, ibunda.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pendidikan mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula kaedah pembelajaran bahasa Melayu dan ibunda yang kini hanya berorientasikan peperiksaan bukan keseronokan.
Hasnah Toran.

Menurut pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Hasnah Toran, faktor itu mungkin menidakkan ‘naluri keseronokan’ pelajar sehingga gagal menguasai pembelajaran seperti berlaku di sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP).

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mendedahkan ada murid di sekolah melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

“Mungkin didorong faktor kurikulum persekolahan di negara seperti pengajaran bahasa Melayu tidak bersesuaian dengan umur dan pendekatan yang menidakkan naluri kanak-kanak mahu keseronokan.

“Sepatutnya bersifat seronok bukan berorientasikan peperiksaan… perlu juga lihat sama ada tingginya nilai diterapkan di sekolah dan ibu bapa dalam menguasai bahasa ibunda,” kata Hasnah kepada FMT.

Hasnah berkata perlu ada kajian menyeluruh untuk menyelesaikan isu terbabit dan paling penting dibuktikan KPM dengan fakta bukan hanya data-data anekdotal.

“Bukan satu tahun kita baru mengajar bahasa ibunda di sekolah, jika ada kelemahan sepatutnya sudah lama kita boleh kenal pasti isunya…dari segi pedagogi guru kita semua terlatih.

“Perlu siasat kalau ini ada berkaitan pembelajaran secara dalam ketika Covid-19, hendak tahu juga sama ada pelajar DLP merasakan tak penting lagi kuasai bahasa ibunda,” katanya.

Wan Marzuki Wan Jaafar.

Wan Marzuki Wan Jaafar dari Universiti Putra Malaysia pula berpandangan perlu ada inisiatif “penyeimbang” menyeluruh dalam usaha mempertingkat penguasaan bahasa Melayu dan ibunda di kalangan murid di sekolah DLP.

Antaranya termasuk pembaharuan kurikulum yang lebih bersifat pantas dan responsif terhadap perubahan keperluan, merangkumi unsur menonjolkan penggunaan bahasa berkenaan dalam situasi kehidupan seharian.

“Pastikan guru-guru mempunyai kemahiran bahasa yang kukuh dan berupaya mengajar dengan kaedah yang efektif melalui perisian pendidikan yang relevan dan menarik. Program latihan berkala dapat membantu meningkatkan kecekapan mereka.

“Anjurkan aktiviti kebudayaan dan sukan yang melibatkan penggunaan bahasa Melayu. Program-program sastera dan pengarahan teater Melayu juga boleh dimasukkan ke dalam aktiviti sekolah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.