Penyewa PPR Lobak tak bayar sewa lebih RM1 juta, kata Adun

Penyewa PPR Lobak tak bayar sewa lebih RM1 juta, kata Adun

Chew Seh Yong berkata ada penyewa yang langsung tidak membayar sewa selama hampir 20 tahun.

Adun Lobak Chew Seh Yong berkata 85% penyewa di flat PPR Lobak di Seremban, Negeri Sembilan tidak membayar sewa. (Gambar MBS)
PETALING JAYA:
Sebilangan besar penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak di Seremban, Negeri Sembilan gagal membayar sewa bulanan yang tertunggak lebih RM1 juta, dengan ada yang tinggal secara “percuma” selama hampir 20 tahun, kata Adun Lobak Chew Seh Yong.

Chew berkata, daripada 131 penyewa, 85% daripada mereka tidak membayar sewa sebanyak RM150 sebulan.

“Ada penyewa yang mempunyai tunggakan lebih RM30,000 sedangkan sewa di sini hanya RM100 sebulan manakala RM50 untuk penyelenggaraan. Ini bermakna dia memang tidak membayar sewa sejak 20 tahun lalu,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Chew Seh Yong.

“Malah kita juga dapati sikap penghuni yang enggan bayar sewa ini boleh jadi virus kerana daripada hanya beberapa orang saja, lama-kelamaan menyebabkan lain-lain pun tak mahu bayar sewa kerana tengok tiada apa-apa tindakan,” katanya yang turut dipetik Sinar Harian.

Katanya, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan bertindak mengunci kediaman dan membatalkan perjanjian dengan penyewa yang degil membayar sewa ini.

Chew berkata, MBS memberi penyewa perjanjian baharu tiga bulan lalu dengan syarat lebih ketat untuk mereka membayar sewa pada masanya.

Bagaimanapun, penyewa yang menghadapi masalah untuk membayar sewa boleh berjumpa dengannya untuk berbincang.

Katanya, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memperuntukan RM1 juta untuk membaik pulih perumahan berkenaan yang sebelum ini kotor dan tidak terurus.

“Sejak saya mengambil alih kawasan Lobak, saya berusaha mengubah stigma itu antaranya membaiki bumbung, mengecat bangunan, membuat rumah sampah dan menurap jalan,” katanya.

Menurutnya, MBS juga memasang jeriji besi di meter air penduduk bagi mengelakkan kes curi air di kawasan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.