
“Kalau ada sesuatu yang mampu menyatukan rakyat Malaysia, ia adalah perasaan benci kita kepada Israel dan AS kerana kezaliman mereka,” katanya ketika berucap dalam himpunan solidariti Palestin di luar Kedutaan AS.
“Saya percaya perpaduan kita di Malaysia menentang Israel, AS akan berterusan. Walaupun berpecah kerana parti dan NGO sebagainya, dalam isu ini kita bersatu.”
Selain itu, Mahathir turut menggesa tindakan boikot terhadap semua produk berkaitan Israel diteruskan sebagai isyarat mengecam kekejaman Zionis.
Bekas perdana menteri itu menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang agama dan kaum, akan terus membantah kekejaman rejim Zionis Israel.
“Kezaliman Israel tak pernah dilihat dilakukan bangsa lain. Nazi dulu pun tak semacam Israel,” katanya.
Himpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), yang terdiri daripada 35 pertubuhan sivil, 15 kumpulan pelajar dan 13 parti politik, turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Beberapa khemah turut dipasang untuk peserta himpunan yang bermula enam hari lepas dan berakhir malam ini.