
Ketua Polis Alor Gajah Arshad Abu berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu menyertai skim pelaburan dikenali sebagai MIT Investment yang diiklankan di Facebook pada 26 Dis lepas, menawarkan tiga pakej pelaburan Bitcoin, iaitu “basic”, “premium”, dan “gold’.
Bagi pakej “basic”, katanya, modal yang diperlukan untuk membuat pelaburan ialah RM300 dan pelabur kononnya akan mendapat pulangan pelaburan antara RM8,000 hingga RM12,000 dalam masa tiga jam.
Bagi pakej “premium pula”, modal yang diperlukan ialah RM1,000 dengan tawaran pulangan pelaburan antara RM18,000 hingga RM25,000 dalam tempoh enam jam, manakala bagi pakej “gold”, modalnya RM1,800 dengan pulangan antara RM30,000 hingga RM50,000.
Arshad berkata ekoran terpedaya dengan tawaran lumayan, lelaki itu memindahkan wang berjumlah RM146,313.60 dalam 12 transaksi ke sembilan akaun bank yang diberikan oleh suspek dalam tempoh tiga hari bermula Rabu lepas.
Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia dekat sini semalam selepas menyedari ditipu apabila beliau tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada pelaburannya.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” kata Arshad dalam kenyataan.
Beliau menambah, individu yang menyedari ditipu patut segera menelefon Pusat Respon Scam Kebangsaan di talian 997 agar wang yang dipindahkan ke akaun sindiket penipuan dapat disekat dengan pantas.