Adik didakwa bunuh kakak kandung

Adik didakwa bunuh kakak kandung

Said Afendi didakwa membunuh Syarifah Ilawati di sebuah rumah di Skudai, Johor pada 24 Dis lalu.

Warga Indonesia Said Afendi, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membunuh kakaknya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, minggu lalu. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Seorang lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh kakak kandungnya sendiri di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, minggu lalu.

Said Afendi, 24, didakwa membunuh Syarifah Ilawati, 42, kira-kira 2 pagi, 24 Dis lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Said Afendi mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 18 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Bahru Utara Balveer Singh Mahindar Singh dilapor berkata seorang wanita warga asing ditemui maut dipercayai ditikam dengan objek tajam pada awal pagi Ahad lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.