Kerani wanita rugi lebih RM1 juta diperdaya ‘pegawai polis’

Kerani wanita rugi lebih RM1 juta diperdaya ‘pegawai polis’

Wanita itu menyerahkan akses perbankan dalam talian kepada suspek yang mendakwa akaun banknya terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Timbalan Ketua Polis Johor, M Kumar berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun dan suspek gagal dihubungi.
PETALING JAYA:
Seorang kerani wanita berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah lebih RM1.08 juta lesap akibat diperdaya individu menyamar pegawai polis.

Timbalan Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata wanita 45 tahun itu mendakwa menerima panggilan oleh seorang individu bulan lalu yang memaklumkan akaun bank miliknya terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis itu kemudian menawarkan diri untuk membantu pengadu dan mengarahkan mangsa menyerahkan butiran akaun bank yang dimilikinya termasuk akses kepada perbankan dalam talian.

“Butiran itu diberikan kepada suspek kononnya sementara siasatan polis dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Kumar berkata pengadu mengikut arahan untuk memindahkan semua wang miliknya ke akaun bank yang diberikan suspek.

“Pengadu hanya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas mendapati wang berjumlah RM1,086,350 miliknya dikeluarkan daripada akaun dan suspek gagal dihubungi,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan atas talian ‘semak mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.