
Beliau berkata, kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membayar elaun bulanan RM850 kepada Imam Rawatib (Imam 1 dan 2) berdasarkan senarai daftar serta disahkan kerajaan negeri.
“Ada perbezaan jumlah elaun bulanan yang diterima imam kerana ada beberapa kerajaan negeri membuat bayaran tambahan kepada kadar yang dibayar kerajaan pusat menerusi Jakim,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian susulan seorang imam di Negeri Sembilan mendakwa gajinya kurang RM1,000 sebulan, tidak setimpal dengan beban tugasnya.
Na’im berkata, hasil semakan mendapati imam terbabit bukan penerima elaun daripada Jakim, sebaliknya beliau dilantik oleh pengurusan masjid.
Semalam, pengguna Facebook Amin Sarif mendedahkan ramai menyangka gajinya RM3,000 sebulan, tetapi hakikat gajinya hanya RM850.
Beliau mengakui bukan sebahagian pengurusan masjid dan tiada kuasa dalam pentadbiran, sebaliknya hanya ditugaskan memimpin solat lima waktu.
“Saya datang bertugas imam, lepas bertugas saya balik. Orang nampak mudah jadi imam. Masuk bertugas waktu solat dan ada banyak masa lapang.
“Tapi bila hal-hal masjid, orang akan cari imam dulu. Nak buat bacaan yasin tahlil, cari imam. Ada ahli kariah meninggal, cari imam. Ada orang susah perlukan bantuan, cari imam.
“Imam tetap akan cuba memenuhi keperluan kariah, cuma siapa pula yang akan memenuhi keperluan imam?” soalnya sambil menambah tiada manfaat perubatan atau polisi takaful, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sepanjang empat tahun menjadi imam.