
FMT mengimbas semula beberapa tragedi berlaku dalam negara selain kontroversi yang menjadi bualan ramai pada 2023.
Nahas Elmina korbankan 10 nyawa
Nahas udara membabitkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang mengorbankan 10 individu termasuk dua pengguna jalan raya berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lalu, antara tragedi paling mengejutkan rakyat Malaysia pada tahun ini.
Tragedi pada 2.50 petang Khamis itu mengorbankan Exco Pahang yang juga Adun Pelangai Johari Harun, juruterbang pesawat berkenaan Shahrul Kamal Roslan, 41, dan Heikal Aras Abdul Azim, 45.
Nahas pesawat malang itu turut mengorbankan lima penumpang lain iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37, Khairil Azwan Jamaludin, 43, Shaharul Amir Omar, 49, Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, serta seorang penunggang motosikal (p-hailing) Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32.
Laporan awal dikeluarkan Kementerian Pengangkutan (MOT) Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) pada 15 Sept lepas, menolak faktor juruterbang sebagai punca nahas berkenaan.
Siapa pembunuh Zayn Rayyan?
Misteri kehilangan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di kawasan sungai berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai selepas sehari dilaporkan hilang pada 5 Dis.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh berdasarkan bedah siasat yang mendapati ada kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak malang itu.
Susulan itu, pihak berkuasa melancarkan siasatan termasuk mendapatkan bantuan daripada pangkalan data Interpol untuk merungkai misteri pembunuh Zayn Rayyan.
Aksi tak senonoh vokalis The 1975
Perbuatan tidak senonoh Matt Healy, vokalis The 1975 yang memegang botol arak atas pentas, selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dikecam ramai.
Kejadian pada konsert Good Vibes Festival, Julai lalu menyebabkan kumpulan terbabit disenarai hitam daripada membuat persembahan di Malaysia pada masa hadapan oleh Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-Puspal).
Kisah Agus dan Wahab
Tidak lama selepas meletak jawatan sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff berdepan pula kontroversi apabila didakwa terbabit dengan perbualan tidak senonoh terhadap kakitangan agensi itu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.
Kedua-duanya tampil pada sidang media khas 17 Nov lalu dan menjelaskan video tular itu telah disunting. Wahab turut mendakwa diarah merakam perbualan itu oleh individu dikenali ‘Mr H’ yang identitinya belum didedahkan sehingga kini.